Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan sekumpulan lelaki yang menyerang pelajar di tapak khemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dalam kejadian awal pagi semalam.
Katanya, kumpulan lelaki ‘samseng’ tersebut hanya ingin menyerang menggunakan fizikal tetapi enggan menggunakan akal untuk berhujah dalam isu yang dibangkitkan pelajar berkenaan.
“Bila ajak untuk berdebat tak nak. Tapi guna kekerasan dia untuk pukul orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 500 orang yang hadir termasuk aktivis dan mahasiswa yang berkampung di lokasi bersejarah itu, malam tadi.
Anwar turut mengulangi janji bahawa akan Pakatan Rakyat akan memansuhkan Pendidikan Tabung Pendikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
Tambahnya, kerajaan kini tidak memberi keutamaan kepada rakyat sedangkan mampu memberikan pendidikan percuma dan memansuhkan PTPTN.
“Kerajaan ada daya untuk laksanakan pendidikan percuma dan mansuh PTPTN. Cuma sekarang ini yang menjadi keutamaan negara bukan rakyat tetapi poket menteri-menteri,” katanya.
Anwar turut ditanya berhubung dakwaan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa beliau merupakan salah seorang yang meluluskan penubuhan PTPTN pada 1997.
Katanya, isu utama dalam hal tersebut ialah soal memberi pendidikan kepada anak golongan miskin.
Jelasnya, bagi golongan yang sudah kaya, isu PTPTN bukan satu masalah besar buat mereka.
“Untuk seorang yang maha kaya, anak-anak bukan isu. Bagi anak orang miskin, itu (PTPTN) isu. Tugas saya ialah menjaga keseluruhan rakyat. Bukan anak-anak bilionair dan taukeh.
“Saya ingin tegaskan yang bilionair tidak akan faham,” katanya kepada Malaysiakini.
Anwar hadir pada kira-kira jam 10.40 malam dengan memakai topi dengan slogan BERSIH bagi memberi sokongan terhadap tindakan mahasiswa dan aktivis yang berkampung di Dataran Merdeka sejak enam hari lalu.
Beliau turut melawat tapak perkhemahan siswa berkenaan dan menurunkan tanda tangan pada kain rentang pelajar itu sebagai tanda sokongannya.
Turut hadir ialah timbalan presiden PKR, Mohd Azmin Ali dan ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hasan.
Link to full article
0 nhận xét:
Đăng nhận xét