KUALA LUMPUR, 21 April — Pembaharuan “terburu-buru” perundangan negara menyaksikan rakyat kecewa dengan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) ekoran pilihan raya ke-13 semakin hampir, kata Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan.
Datuk Seri Najib Razak dan pasukannya mungkin memperoleh mata tambahan apabila melaksanakan pindaan terhadap kebebasan umum, saat bersejarah buat politik Malaysia, namun beliau gagal melaksanakan penambahbaikan sistem pilihan raya, katanya.
Pemimpin itu menambah walaupun peruntukan penting dalam perundangan telah dimansuhkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, mereka melaksanakannya dalam keadaan terburu-buru, dan menimbulkan keraguan terhadap niat pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan.
“Bagi saya, pindaan dan pemansuhan akta yang seakan dipaksa di Parlimen, tanpa perbincangan sama sekali dengan pembangkang menimbulkan keraguan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Ini jelas membuktikan pilihan raya semakin hampir.
“Kita berada dalam keadaan terburu-buru, jelas, dengan pindaan yang diluluskan secara tergesa-gesa.
“Sesetengah pihak mungkin bersetuju … tapi ramai yang melihat kerajaan melakukannya semata-mata pilihan raya.
“Ini jelas menunjukkan sifat tidak ikhlas kerajaan,” katanya.
Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan: Pilihan raya semakin hampir. — Foto fail
Selepas tempoh dua penggal sidang Dewan Rakyat dan kira-kira enam bulan, kerajaan telah pun melaksanakan sejumlah besar pindaan terhadap undang-undang yang sekian lama dianggap undang-undang drakonian oleh pembangkang dan kumpulan organisasi masyarakat.
Antara kunci utama adalah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, yang mana menerima kritikan banyak pihak ekoran dakwaan kerajaan menyalahgunakan akta tersebut untuk mengancam pembangkang.
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 adalah pengganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang membenarkan penahanan tanpa dibicarakan selama tempoh dua tahun.
November lalu, sidang Dewan Parlimen meluluskan Akta Perhimpunan Aman 2011, akta baru yang dibentuk kerajaan bagi membenarkan orang ramai berhimpun selepas pihak berkuamenahan lebih 1,600 penunjuk perasaan dan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah mereka ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu.
Pada sidang terakhir penggal Dewan Rakyat Khamis lepas, kerajaan turut memansuhkan peruntukan melarang mahasiswa terlibat dengan politik selepas meluluskan pindaan terhadap Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (Auku).
Dengan kesatuan yang julung kali dilihat antara BN dan Pakatan Rakyat (PR), kedua-dua para pemimpin bersetuju untuk memberikan kebebasan akademik dengan membenarkan penglibatan mahasiswa dalam kancah politik tanah air dan juga kampus.
Dewan Rakyat turut bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan permit kepada institusi media, dan meluluskannya pada 2.15 pagi semalam dengan melakukan pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
Walaupun akta itu mendapat persetujuan, pindaan itu melupuskan kuasa Putrajaya mengemukakan permit percetakan dan memansuhkan permit tahunan.
Antara pembaharuan lain adalah pindaan terhadap Akta Polis, rayuan terhadap Akta Buang Daerah 1959, dan Akta Kediaman Terhad 1933, pemansuhan tiga Deklarasi Darurat, dan pembentangan Rang undang-undang Ikatan Rawan Malaysia (RELA) 2012 yang menghadkan kuasa mereka terhadap penggunaan senjata api dan kuasa untuk menahan.
Namun begitu, pembaharuan perundangan ini jelas Ambiga, hanyalah “mainan psikologi” untuk rakyat bagi meletakkan kepercayaan dan menyokong Najib.
Menurut beliau, sesetengah pihak mungkin menyambut baik usaha itu, namun selebihnya akan sedar bahawa kunci utama untuk negara demokrasi adalah pilihan raya yang adil dan bersih.
Ini jelasnya, adalah kegagalan Najib yang terbesar dengan pembahruan terburu-burunya itu.
“Bagi saya, ada markah tambahan untuk pindaan-pindaan tersebut. Tapi … banyak lagi rungutan.
“Masih lagi berlaku ketiak puasan hati berhubung proses pilihan raya … adakah akan ada pilihan raya yang bersih dan adil selepas ini? Kita berasa sangsi. Kerana, pada pandangan saya, belum lagi dilaksanakan,” katanya.
Antara langkah pembaharuan Najib adalah pembentukan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC), bagi penambahbaikan pilihan raya yang diwujudkan Oktober lalu bagi melaksanakan tuntutan Bersih dan pembangkang untuk membersihkan proses pilihan raya.
Namun begitu, apabila tamat tempoh enam bulan, panel dwipartisan itu membentangkan hasil laporan pada 2 April itu, yang mana Ambiga dan wakil pembangkang melihatnya sebagai satu kegagalan dalam pembaharuan sebenar yang tidak didedahkan panel.
“Lebih teruk lagi laporan itu dilulus tanpa perbahasan,” katanya. “Lebih banyak lagi perkara akan dikeluarkan.
“Yang paling jelas adalah laporan itu tidak menyatakan dengan jelas tarikh pembaharuan tersebut. Sekiranya ada komitmen untuk melaksanakan 22 syor PSC sebelum pilihan raya ke-13, semuanya akan selesai.”
Tambah Ambiga, BN telah melepaskan banyak peluang keemasan untuk meraih undi.
“Saya telah terangkan sebelum ini dan sehingga ke hari ini — sekiranya ada keinginan untuk pembaharuan sistem pilihan raya, populariti mereka akan meningkat,” katanya. “Tapi pembaharuan mereka telah dilakukan untuk banyak perkara, tapi perihal pilihan raya, mereka gagal.
“Dan sekarang mereka kembali tersepit.”
Bersih 3.0 telah menerima sokongan PR, termauk PAS, PKR, dan DAP akan turut mengerahkan anggota mereka berada di Dataran Merdeka pada jam 2 petang Sabtu depan.
Kerajaan telah memberikan lampu hijau kepada perhimpunan tersebut, atas semangat Akta Perhimpunan Aman, namun DBKL telah menolak permohonan mereka untuk menggunakan dataran bersejarah itu semalam untuk demonstrasi “Duduk Bantah” mereka.
Link to full article
0 nhận xét:
Đăng nhận xét